Thursday, August 2, 2007

Kesedihan seoramg ibu...

Assalamualaikum w.b.t

Wednesday, August 02, 2006


Hari ini berita sedih melanda pejabat, anak salah seorang kerani dipejabat kami yang berusia 10 tahun meninggal dunia. Maut tidak mengenal usia, dengan hanya sakit kepala biasa rupanya ia petanda bahawa arwah mahu meninggalkan ibu, ayah dan keluarga. Siapa sangka ibunya, Pn Salmiah yang kerap sakit-sakit rupa-rupanya anaknya yang dipanggil ilahi terlebih dahulu.


Saya yang menziarahnya juga tidak dapat menahan kesedihan apabila orang yang hadir membuka kain yang menutup wajahnya dan setiap kali wajahnya polos saya akan menitiskan air mata. Bukan apa, setiap kali itulah saya teringatkan anak saya, Hani. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sekiranya Hani pergi dulu dari saya. Saya berdoa agar saya tidak diberi ujian seberat itu.


Kebetulan tempat saya menziarah begitu dekat jaraknya dengan rumah Kak A yang mana suami saya juga telah dibawa pindah ke situ. Justeru saya pun menziarahnya sekali, tapi agaknya kerana baru bangun dari tidur keadaannya agak kurang ceria. Kesedihan melanda diri, bukan apa, rasanya tiada lagi kesempatan untuk saya membawanya ke rumah saya, sehinggalah dia sihat kembali. Apakan daya, sudah itu kehendaknya. Saya terpaksa berlapang dada. Katanya sudah selesa di sana, kerana mudah baginya bergerak ke surau. Walaupun di rumah saya ada surau tetapi agaknya kerana jemaahnya tidak begitu dikenalinya justeru berat baginya untuk ke surau di taman saya.


Bila ditanya, tidak ingatkah pada saya? Jawabnya dah sakit macam ni, nak ingat apa lagi? Sapa yang ingat abang datanglah tengok.... Nampaknya tiada lagi privacy dalam hubungan kami, untuk mengambil abang dibawa balik ke rumah saya kini menjadi perkara yang mustahil dan hanya saya yang perlu berulang ke ruamh kak A yang jaraknya 90 km pergi dan balik. Saya perlu sedar saya adalah isteri kedua, apa-apa pun tetap bukan pilihan pertama. Apatah lagi tuntutan masa bekerja saya yang tidak terikat dengan waktu pejabat.


Apapun ujian untuk saya belumlah lagi seberat ujian untuk Pn Salmiah yang kematian anaknya. Saya masih boleh bercakap dan memegang tangan suami sedangkan Pn Salmiah yang telah 10 tahun bersama dengan anknya kini tidak dapat lagi bersama dengan anaknya. Permintaan terakhir anaknya malam tadi yang meminta beliau menemaninya tidur alhamdulillah dapat ditunaikan. Jam 4 pagi anaknya mengadu sakit kepala dan dibawa ke hospital.


Sampai di hospital, hidung dan mulut anaknya berdarah dan menjelang pagi telah kembali ke rahmatullah. Walaupun kerap mengadu sakit kepala tetapi apabila dibawa ke klinik doktor tidak mengatakan sakit apa-apa justeru Pn Salmiah hanya berubat secara tradisional. Itulah namanya ajal, walaupun masih muda tetapi apabil sampai ajalnya tidak boleh tangguh barang sesaat pun. Al fatihah.



Suara hati dan pemikiran siti detik 8/02/2006 02:18:00 PM 1 cetusan hati
Cerita tentang; Rencam


Wassalam