Tuesday, June 13, 2006

Hari ni lagi

Assalamualaikum w.b.t

Tuesday, June 13, 2006


Semalam, jam 8.00 malam baru saya dapat kembali ke kamar saya, keluar tadi pagi kurang lebih jam 7.50 am, maknanya lebih 12 jam saya di luar rumah. Walaupun jarak pejabat dan rumah hanya kurang lebih 50 meter tapi saya tetap gagal pulang. Rumah saya dipisahkan oleh aliran anak sungai dengan pejabat dan antara pejabat dan rumah penghubungnya adalah jambatan. Satu hari nanti saya akan letakkan gambar rumah saya dan pejabat saya di sini. Hari ini saya pulang jam 1315 hrs terus keluarkan ayam kampung dari peti ais dan mesin rencah membuat rendang dan tepat jam 1400 hrs kuah rendang saya telah siap.


Malam ini walaupun niat makan ikan goreng tidak kesampaian kerana semalam semasa ke pasar malam saya terlupa terus niat mahu membeli ikan, tapi malam ini saya diberi makanan yang lebih enak... rendang ayam kampung resepi sendiri. Dari pasar malam saya terus ke rumah "baru" yang saya baru tandatangan S&P nya untuk meninjau-ninjau warna cat yang sesuai dan perancangan susun atur perabut di syurga saya ini. Selama 6 tahun sejak saya mula kerja di jabatan ini saya telah menetap di 4 rumah semuanya sewa. Kali ini saya mahu bersungguh-sungguh menatarias syurga baru saya ini.
Perbincangan dengan 2 pegawai baru yang masuk bulan Mac lalu, seorang di sebelah pagi dan seorang lagi di sebelah petang menjadikan saya gagal melunaskan tugas sendiri. Alangkah untungnya mereka mendapat ketua seperti saya yang sanggup menghabiskan masa menunjukajar mereka bahkan serasanya saya yang menyiapkan kerja mereka. 4 tahun dulu di sini saya merangkak sendiri menyelesaikan setiap kes walaupun dalam keadaan sarat mengandung.



Walaupun saya masih mentah tetapi keadaan dan masa membentuk saya cepat belajar. Pemahaman terhadap peruntukan undang-undang dan bidang kuasa jabatan kami adalah inti pati dalam melaksanakan tugas dengan cemerlang. Namun banyak lagi ruang kosong yang perlu saya penuhkan sebelum saya melangkah lebih jauh.



Suara hati dan pemikiran siti detik 6/13/2006 08:20:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Rencam


Wassalam

Hari ini

Assalamualaikum w.b.t




Saya baru kembali dari salah sebuah PBT membuat lawatan tapak ke salah sebuah projek kerajaan iaitu padang awam yang dikatakan orang ramai tidak dibuat tetapi pembayaran telah selesai. Susah, kerja-kerja bawah tanah yang dibuat tak nampak dek mata, tapi setengah juta duit rakyat hangus dibayar kepada kontraktor. Tugas saya pastikan apa kerja yang dibuat dan apa kerja yang tak dibuat, nampaknya spec kerjanya semua melibatkan kerja-kerja bawah tanah! Kerja untuk hilangkan air yang selama ini bertakung dipadang awam, spek kerjanya lebih kepada membuat "Nylex Stripdrain" untuk serap air. Hanya kerja finishing saja yang tak sempurna, tiada garisan padang, tiang gol, sprinkler tak berfungsi, rumput dah tumbuh semalu.


Nampaknya terpaksalah panggil pakar untuk korek semula ambil sample, baru tahu kerja sempurna atau tidak. Itulah sebahagian kerja saya, siasat sana, siasat sini. Petang cadangnya hendak menydiakan Laporan kepada beberapa jabatan berkenaan salah laku kakitangan masing-masing. Harap dapat siapkan satu pun cukuplah untuk petang ini, esok persiapan untuk membeli hadiah bagi pertandingan menembak antara jabatan.
Petang ni juga nak ke pasar malam membeli lauk, sudah dua minggu dapur tak berasap, rindu benar nak makan ikan goreng. Anak pun kesian sudah dua minggu hari ibu tak suapkan makan nasi. Macamnana nak masak, 29/05-02/06 saya di Pulau Pinang dan 02 hingga 05/06 saya ke Langkawi dan Padang Besar. Hujung minggu baru ini saya ke Muar kawan baik Walimatul Urus terus singgah ke kampung di Melaka. Mak di kampung beri 2 ekor ayam kampung yang telah di potong, tapi tak tahu nak dimasak apa? Biasanya ayam kampung yang dibeli di Giant hanya dibuat rendang masak yang lain tak mahir, tapi rasa-rasanya ayam ni nak dimasak kari. Tentu sedap, kan?


Seminggu ni suami keluar 10 hari jemaah Tabligh ke Pulau Pinang, amalan biasa kalau dia tiada saya memang tak ke dapur tapi kali ini sebab 2 minggu sudah saya juga out station, kenalah masak juga nampak gayanya. Seingat saya kerana terlalu kurangnya saya ke dapur, walaupun saya telah membeli dapur selama 5 tahun, tetapi satu-satu tong gas seberat 18 kg saya boleh mencecah penggunanannya sehingga 6-7 bulan lamanya. Maksudnya saya dari kahwin sehingga sekarang hanya 6-7 kali sahaja membeli gas. Sungguh jimat! Saya juga kurang makan di luar, kalau masak semasa suami ada pun menunya hanyalah ikan kukus atau dibakar sahaja. Satu lauk pun dah cukup. Ikut sunnah kata suami... insyaallah.


Suara hati dan pemikiran siti detik 6/13/2006 12:44:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Rencam


Wassalam

Monday, June 12, 2006

Kedua Alhamdulillah

Assalamualaikum w.b.t


Monday, June 12, 2006

Alhamdulillah. Berjaya akhirnya cubaan saya! Ta'aruf dahulu. Saya ibu kepada 1 anak sendiri (P, 3 yrs) dan 6 anak tiri (4L & 2P), 3 anak dari isteri pertama suami dan 3 lagi anak dari isteri kedua, semuanya berusia antara 26 tahun hingga 1 tahun setengah. Saya bekerja di salah sebuah badan kerajaan yang menguatkuasakan undang-undang negara sejak 1 September 2000, mencecah 6 tahun sept tahun ini. Dahulu bekerja sebagai wartawan, kerana itulah minat menulis ini tidak pernah luntur tetapi semakin membuak-buak.


Semua sedar hari-hari dari pagi hingga malam pelbagai tuntutan dan permintaan datang kepada kita - anak nak tu nak ni, ayahnya pun semacam saja, di pejabat boss pun sama , adakala dapat dipenuhkan dan adakalanya kita tidak berkemampuan. Sekiranya permintaan menyamai penawaran yang mampu kita berikan, maka dapatlah kita memuaskan hati semua pihak. TETAPI sekiranya permintaan terlalu tinggi sedangkan apa yang boleh kita tawarkan terhad, maka datanglah tekanan @ STRESS dalam diri. Bagi mengurangkan stress inilah saya suka sekali luahkan apa-apa saja di sini. Lebih mudah dan jimat masa untuk therapy minda. Seumpama sessi ice breaking kalau kita ke mana-mana kursus kan?

Suara hati dan pemikiran siti detik 6/12/2006 02:06:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Rencam


Wassalam

Awal Bismillah

Assalamualaikum w.b.t


Saya lama benar ingin luahkan apa terpendam di dalam hati dari kecil hingga usia menginjak ke angka 32 tahun 10 may lalu ke satu tempat tapi tidak tahu kepada siapa ingin diluah, dimuntah dan diserahkan seluruh cerita yang kian sesak dan senak didalam benak saya. Bukan cerita tentang diri sahaja, tapi banyak benar masalah yang difikir dari ekonomi, politik, sosial, kebudayaan dan keagamaan. Saya suka benar berfikir isu-isu sekeliling hingga adakala saya sendiri pening.


Telah kurang lebih 2 tahun saya mula tahu banyak orang guna cara berblog ini untuk cerita apa-apa mereka suka dan tak suka dan juga apa mereka nak cerita dan kongsi bersama. Saya juga ada keinginan untuk buat begitu. Dua kali mencuba berblog tahun lalu tapi gagal meneruskan atas pelbagai masalah teknikal. Kali ini rasa ingin istiqamah sebagai satu therapy diri. Bukan apa, adakala rasa cerita di alam maya ini paling relevan dalam suasana hari ini, bukankah baik begitu?

Suara hati dan pemikiran siti detik 6/12/2006 01:55:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Rencam


Wassalam