Tuesday, July 18, 2006

Aku juga ingin merajuk!

Assalamualaikum w.b.t


Tuesday, July 18, 2006


Menjaga orang yang sakit sungguh mencabar sifat-sifat mahmudah dalam diri. Kesabaran dan kekuatan semangat yang bukan main-main amat perlu semasa melayan dan berbicara dengan mereka. Itulah yang berlaku kepada suamiku tatkala ini. Walaupun otaknya tak sakit hanya badannya sahaja namun percakapan dan perbuatannya sungguh jauh berbeza dengan semasa sihatnya. Serasa aku seperti telah hilang separuh dari sifat suamiku yang dulu, seolah-olah dia yang ada sekarang separuhnya menjadi orang lain, sfat-sifatnya yang dahulu entah kemana terbangnya....


Kami berdua, aku dan Kak A isteri-isterinya adakalanya dibuat seperti orang asing dan apabila bercakap dengannya seolah-olah tidak didengar dan hanya pandangan kosong sebagai balasan. Entah apalah yang ada dalam fikirannya. Sabtu malam (15 Julai) selepas bersolat isya' aku ditengking hanya kerana enggan keluar membelikannya Bihun sup. sebenarnya bukan niatku untuk ingkar permintaannya tetapi kerana kesihatannyalah yang menyebabkan aku meminta dia bersabar sehingga esok hari dan aku akan membeli ayam kampung untuk Kak A menyediakan sendiri bihun sup. Bihun dikedai dengan MSG, garam, minyak dan daging sudah barang tentu makanan ini boleh menaikkan BPnya! sebelum ini pun apa sahaja permintaannya sejak keluar hospital ku tunaikan segera dan berkejar ku kedai asalkan dapat memenuhkan permintaannya.



Apa sahaja diminta kubelikan tanpa bersoal panjang; kalau kuingat dari awal lagi... inilah barang yang dimintanya;

1) Walking frame- alat untuk sokongan berjalan
2) Alat mengukur tekanan darah OGAWA
3) Beberapa kali di hospital minta dibelikan capati
4) Tongkat berkaki empat untuk sokongan berjalan
5) Makanan yang dia teringin berbagai-bagai: laksa, nenas dalam tin, murtabak, apam balik, kuih muih, jagung rebus, red bean dalam tin dll.
6) Minta dibeli arnab hidup untuk dibuat ubat (jenuh kucari di kedai haiwan dan pujuk orang dipasar untuk tolong sembelih dan potongkan)
Barang yang tidak dipinta tapi kubelikan:
1)Kerusi roda
2)Alat urut OGAWA
3)Alat refleksi untuk tapak kaki OGAWA
4)Keperluan asas untuk orang yang tak boleh gerak... bekas kencing, bekas-bekas lain, baju2 pagoda, t shirt, seluar2 pendek, bantal-bantal kecil alas tangan untuk tangan yang tak boleh gerak tu...
5)Susu Igg plus
6)Vitamin
7) Bawa dia ke sana kesini rawatan dengan semua kos aku yang tanggung (minyak, tol, makan)
8) Banyak lagi benda-benda yang tak perlulah disenaraikan....


Tapi seolah-olah satu pun pengorbanan yang aku buat tak nampak di mata dia.....hanya kerana bihun sup!


Akhirnya malam itu aku keluar juga mencari bihun sup dan meminta kurang garam, kurang minyak dan jangan diletak ajinamoto. Namun tindakan aku telah terlewat kerana suami telah merajuk denganku dan tidak mahu bercakap dengalu sehingga hari esoknya seperti orang yang merajuk dan marah. Hanya Kak A yang diminta untuk melayannya samaada untuk mengambil bekas kencing atau untuk meminta apa-apa. Oh alangkah sedihnya kerana semua ini berlaku dirumahku. Tetapi aku tetap bersabar dan terpaksa membuat seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong dan bertanya apa-apa keperluannya tetapi dia tetap mendiamkan diri.


Ku jerit dalam hatiku....Aku juga ingin merajuk...... tapi aku tidak tahu kepada siapa untuk ku rajuk.....!!! Aku ingin merajuk..... aku ingin merajuk..... merajuk lagi dan lagi dan lagi, aku letih... letih letih yang teramat letih!



Suara hati dan pemikiran siti detik 7/18/2006 10:54:00 AM

Wassalam

No comments: