Friday, July 21, 2006

Malam yang sibuk....

Assalamualaikum w.b.t


Friday, July 21, 2006


Malam tadi jam 1.30 a.m saya terjaga dari tidur, eh sebenarnya bukan terjaga memang dari awal tidur saya tidak sedamai biasa. Mungkin penghawa dingin terlalu sejuk, tapi seperti biasa saya hanya setkan hanya 22 darjah celcius sahaja, lalu segera dioffkan dan on kan kipas, mata masih gagal kupejam! Terus saya putuskan untuk bangun membuat apa-apa aktiviti yang berfaedah.


Anak di sebelah begitu nyenyak sekali. Selepas menyelimutinya, terus ke ruang tamu. Hanya dalam fikiran mahu menyiapkan tabir langsir untuk pintu sliding yang belum siap-siap sejak minggu lalu. Maklumkah menggunakan jahitan tangan. Rajin... ya saya memang rajin, pada masa ini saya perlukan sesuatu untuk dibuat agar fikiran tidak melayang dan hati tidak sedih mengenangkan suami yang tidak berada di sisi.


Adakala semasa membuat jahitan tangan ini membuatkan saya terleka, walaupun nampaknya begitu sukar dan panjang tetapi otak saya terfokus hanya pada kerja yang satu itu... menjahit dan terus menjelujur langsir berlerang 60" sepangang 6.3 meter itu. Dengan ukuran manual tanpa tali tape, memang agak sukar dan merumitkan tetapi ia begitu mengasyikkan.


Saya lupa... lupa segala-galanya semasa jari jemari asyik menari-narikan jarum itu. Biasanya selepas isya' saya jahit sedikit demi sedikit sejak Khamis minggu lalu saya beli tetapi tadi malam, saya mengabaikannya kerana malam tadi kan malam jumaat, membaca Quran tentu lebih baik, kan? Selepas hampir sejam saya fikir saya perlu berhenti kerana kerja ini perlu dibuat perlahan-lahan bukan perlu dihabiskan. Aktiviti yang begini tidak perlu tergesa-gesa, saya perlukan lagi aktiviti sebegini untuk mengubat luka dihati.


Saya terus ke dapur, mengambil periuk dan memasukkan air dan memasukkan 2 bungkus gula kastor (gula biasa telah habis di Giant) untuk membuat pes sirap ros, selepas cair gula itu terus saya masukkan pewarna merah perisa ros dan mengambil kunci pintu dapur untuk mengambil daun pandan wangi... tapi ohh jam 3.00 a.m baru, walaupun saya berani keluar tetapi takut pula nanti ada jiran sebelah menyebelah ternampak saya. Nanti apa pula difikirkan mereka di tengah pagi begini ada orang terbongkok-bongkok mengambil daun pandan. Saya tangguhkan.


Saya terus k stor dan mengeluarkan gelongsor dan buaian mainan anak untuk dipasang di laman belakang seperti saya janjikan semasa perjalanan pulang kerja, tetapi sekali lagi... takut nanti jiran bertentangan belakang rumah terbangun pula mendengar bunyi bising, permainan itu hanya saya sandarkan di pintu dapur.
apa lagi boleh saya buat pada waktu begini? Oh ya, baru saya teringat, telah hampir dua tahun saya membeli fram khat bertulis ayatul Kursi semasa orang menjualnya datang ke pejabat dengan harga hampir RM200.00, tetapi sehingga hari ini saya tidak memasangnya.


Kalau dulu suami kata, "ayat Quran bukan hiasan, tetapi untuk diamalkan, itulah menyebabkan ayat itu tersimpan sahaja di atas almari saya. Aapatah lagi, rumah kerajaan yang saya duduki itu tidak boleh dicucuk paku sewenang-wenangnya. Kali ini saya mesti pasang, sementelah nak diharap suami memanglah dah tak boleh, jadi saya mesti buat sekarang. Lalu membongkarlah saya ke dalam stor mencari tempat penyangkut frame berkenaan yang dulunya saya simpan dalam laci almari solek saya.


Memandangkan semasa berpindah semua barang dikemas oleh pekerja lori pengangkut maka terpaksalah saya menyelongkar satu demi satu beg plastik sampah hitam untuk mencari barang-barang saya. Setelah mencari bagai nak rak akhirnya berjumpa juga dan hasil usaha gigih tanpa mengenal putus asa saya berjaya juga menggantung ayat Kursi bersaiz besar (sungguh berat) itu setelah membuat cubaan hampir sejam. "Tanpa usaha tiada jaya!"


Banyak juga benda saya berjaya sempurnakan. Nampaknya jam mencecah 3.45, saya terus mencapai baju yang berisi sebakul penuh belum berlipat, saya lipat kesemua baju itu sehinggalah jam 4.15 pagi. Oh ya, jangan lupa malam jumaat solat hajat! Saya pun menunaikan solat hajat dengan doa supaya suami cepat sembuh. selesai solat saya terus memindahkan komputer dan meja komputer di ruang tamu untuk mendekatkan dengan talian telefon dan mudah bila talian internet dipindahkan dari rumah lama nanti. Selesai kerja-kerja perpindahan, anak pula merengek meminta susu, selesai membuat susu saya mendengar azan dan saya terus menunaikan solat subuh.


Kemudian saya mengambil masa sedikit menghadap komputer yang tidak langsung saya pasangkan dan onkan sejak 26 Jun lalu iaitu pada hari bersejarah itu dan sejak berpindah hanya terbiar di bilik Hani. Kini hampir semurna sudah perhiasan dan susunatur rumah saya. Walaupun simple tetapi saya cukup puas hati sebab dapat duduk rumah sendiri dan boleh buat apa suka! Cuma apa yang perlu saya ubahsuai sedikit ialah kebanyakan langsir pintu dan tingkap yang dibawa dari rumah lama saya terlalu labuh, perlu dijahit untuk disingkatkan. Ya.... saya akan jahit tangan lagi... dan kini kehidupan malam saya ada aktiviti.


Maklumlah hujung minggu saya akan ke rumah madu untuk khidmat dengan suami. Hari ini kalau jadi saya akan pergi mengambil suami untuk dibawa ke rumah saya pula sehinggalah hari ahad. Dalam keadaan bekerja, itulah sahaja yang saya mampu lakukan untuk suami. Semalam petang juga saya telah singgah di Nursery dan membeli 3 jenis pokok buah iaitu jambu air, kedondong dan delima. Di samping itu saya beli sepohon anak pokok bonsai dan sepohon cempaka serta pokok duit yang boleh letak dalam rumah tu... Kesemuanya siap dipindah dan ditanamkan dalam pasu bunga oleh pekerja nursery.


Seolah-olah tahu saya memang malas bab menanam ni. Saya juga membeli anak cili dan anak pokok kunyit. BIla dikira, genap-genap seratus ringgit. Walaupun nilainya agak besar berbanding cadangan awal untuk beli bunga kertas saja tapi saya cukup puas hati. Malam tadi beberapa kali saya menjengah pokok-pokok itu yang saya letakkan betul-betul di depan sliding door... kini sedikit kegembiraan saya tercetus tatkala memandang pokok-pokok itu! Pokok buah-buahan itu akan saya tanak esok kerana hari ini baru saya akan membeli cangkul untuk menggali lubang.


Selepas solat subuh saya bersiap-siap menggosok baju dan menyiapkan anak utnuk dihantar ke rumah pengasuh. Walaupun tak tidur hampir semalaman hari ini saya perlu hadir ke mahkamah untuk membuat sebutan satu kes. Mujurlah hakim yang perlu berhadapan itu baik orangnya dan tertuduh belum mencari peguam. Selepas membaca Yaasin sekali lagi di pejabat saya bergerak ke mahkamah sambil mulut tak berhenti-henti menguap. Mujur dihadapat hakim tidak menguap.


Petang ini ada seminar dipejabat ini, pejabat saya menjadi hos untuk zon selatan, lebih 30 orang akan hadir dari HQ, Johor dan Melaka. Ada tak ruang untuk saya balik awal agaknya untuk ambil suami? Adakah pengarah akan cari saya dalam sibuk-sibuk itu? Selalunya masa kita tertonggok takde sesiapa cari tetapi hilang seketika, itu lah masanya segala orang mencari kita.


Apapun, aku tak mahu makan gaji buta, tepat jam 2.45 aku harus kembali ke pejabat.


Suara hati dan pemikiran siti detik 7/21/2006 12:19:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Rumah

Wassalam

No comments: