Tuesday, July 11, 2006

Saat derita bertandang lagi 2...

Assalamualaikum w.b.t

Tuesday, July 11, 2006



Sampai di unit kecemasan hospital, suami boleh dikatakan tiada lagi daya untuk bergerak dan teramat lemah, aku yang ketika itu bersama Hani berkejar-kerja mencari pembantu hospital dan dengan segera aku membantu mereka menyorong strecher kepada suami dan dengan segera juga suami ditolak ke dalam bilik rawatan sambil M menemani dan aku sendiri membuat pendaftaran. Selesai pendaftaran, aku pula tak dibenarkan masuk ke bilik rawatan yang tertulis "kronik/separa kronik" kerana hanya satu anggota keluarga sahaja boleh menemani pesakit dan pada masa itu, kawan pejabatku M ada di dalam.


Aku bersama Hani terpaksa menunggu di luar. Pada masa itu, aku terus menelefon maduku, Kak A dan mengatakan suami telah ada di unit kecemasan. Dia yang telah kuberitahu melalui telefon dari awal iaitu semasa suami bersolat Asar sememangnya telah dalam perjalanan ke hospital. Dalam hal ini walaupun suami melarang aku telefon isteri pertamanya, aku terpaksa ingkar kerana kalau aku di kedudukan kak A aku pun akan marah kalau kes kecemasan terhadap suami seperti ini aku diketepikan.


Selepas lebih kurang setengah jam menunggu, akhirnya doktor memanggilku dan meminta aku mendaftar suami masuk ke wad dan lebih kurang hampir jam 7.00 malam suami telah pun ada di wad kelas 3, Hospital besar. Kami berempat, aku, hani, M dan seorang lagi rakan sekerja, A berada di sisi suami dan pada masa itu, 2 doktor telah ada di situ memeriksa suami dan bertanya latarbelakang sejarah suami seperti, umur, merokok?, Minum?, sejarah penyakit keluarga? dan lain-lain. Kedua-dua doktor agak terkejut kerana dalam usia agak muda iaitu 49 tahun dan tidak pernah merokok tapi suami diserang stroke. Pada masa ini suami masih lagi muntah-muntah dan amat lemah serta tak boleh bercakap-cakap kerana fungsi mulutnya juga terjejas.


Aku kebetulan memang telah menyiapkan satu beg pakaian suami dari lepas Zohor lagi menukarkan pakaiannya kerana bajunya telah penuh dengan muntah... pada masa inilah maduku sampai. Pada masa sama aku sempat memandang wajahnya, walaupun hanya nampak mata kerana dia berpurdah tapi aku melihat tiada riak kerisauan yang ketara pada matanya itu. Tiada juga tanda kemerahan atau bengkak kesan menangis.... itu permulaan hasutan syaitan dibenakku yang mengatakan, "apalah kak A ni, tak nampak risau langsung...."


Apapun, kami sempat berbincang dan merancang, aku akan pulang untuk urusan menghantar anak kerumah baby sitter dan mengambil barang-barang keperluan suami, sementara dia menjaga suami dan aku akan datang semula pada sebelah malam. Memandangkan dia masih menyusukan anak yang berusia 1 tahun 11 bulan, aku terpaksa menjaga sebelah malam dan kami seolah-olah mencapai persetujuan secara diam-diam bahawa dia akan menjaga siang manakala aku menjaga sebelah malam. Balik terus kami mengahnatar Hani ke rumah Mak R dan aku terus pulang ke rumah.


Masuk ke bilik kami, kesedihanku mula menyelinap apabil melihat kati, sejadah terbentang depan mata. Terbayang semula saat-saat suami diserang stroke, bagaimanap aku dan Hani berhadapan dengan suasana kecemasan tadi. Risaunya bukan kepalang memikirkan apakah akan berlaku seterusnya. Teringat pula perbicaraan esok yang mana aku adalah pegawai penyiasatnya, terus aku menelefon pengarah dan memaklumkan kejadian tadi dan memohon cuti kecemasan seminggu.


Pada masa sama juga aku terus menguruskan pegawai lain untuk mengambil alih dan membawa barang-barang kes esok hari. Selepas solat maghrib dan menyiapkan barang-barang yang perlu dibawa , aku bergegas semula ke hospital. Malangnya, aku yang tiba jam 8.30 malam tidak dibenarkan masuk ke wad sehingga jam 9.00 malam. Sampai bertekak dengan Pak Guard, mungkin kerana emosi dan kebimbangan yang melampau aku bersikap sedikit kurang ajar. Apapun aku tetap menentang sistem masuk mengikut waktu ini, sekiranya apa-apa berlaku pada suamiku ekoran halangan pihak keselamatan ini akau akan ambil tindakan!


Tepat jam 9.00 malam aku orang pertama diberi pas masuk kerana kebisingan (kegarangan?) mulutku. Apabila sampai, suami telah berpindah katil dan Kak A memaklumkan bahawa suami baru sahaja balik dari hsopital swasta membuat CT scan pada kepala. Biambangnya aku, hanya Allah yang tahu, takut nak tahu keputusan kalau-kalau ada sel otak yang mati atau berlaku pendarahan di otak. Waktu itu, Kak A memaklumkan bahawa suami masih belum bersolat Maghrib, suami yang pada masa itu kulihat amat letih dan memejamkan mata hanya diam sahaja.


Alhamdullillah kak A menawarkan diri untuk mengambil tanah untuk dibuat tayammum. Aku yang memang keletihan fizikal dan rohani hanya menunggu di situ. Sebentar kemudian anak tiriku Angah, 25 tahun sampai dan selepas berbasi basa pasal ayahnya, Kak A sampai dan Angah mengambilkan tayammum untum ayahnya yang seakan-akan tidak boleh bergerak. Sejurus itu juga Kak A meminta izin untuk balik kerana katanya tak biasa memandu malam. Ah... alasan bodoh! Aku senyum walaupun hatiku menjerit tak bersetuju dengan kata-katanya.


Maka pada malam itu, buat pertama kalinya akau berjaga di wad kelas 3 yang sungguh-sungguh padat dikelilingi oleh pesakit-pesakit yang kronik dan jururawat yang garang-garang. Mataku tak mahu lelap kerana bimbang yang maat sangat melihatkan suami, malam itu akau hanya tidur ayam ( atau tak tidur langsung) sebab hanya guna satu kerusi, tempat yang sungguh sempit dan berhadapat dengan suamiku adalah seorang pesakit yang koma dan bergantung kepada mesih hayat... bunyi mesin tit...tit...tit cukup menganggu aku.

sambung.....



Suara hati dan pemikiran siti detik 7/11/2006 05:13:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Stroke


Wassalam

No comments: