Tuesday, July 11, 2006

Mengapa ujian seberat ini?

Assalamualaikum w.b.t



Mulanya sesekali aku bertanya mengapa ujian seberat diberi, tapi kini soalan itu kian bermain-main di minda, mengapa dan mengapa dan mengapa terjadi, itu yang agak ku kesalkan. NAMUN sebagai hamba Allah aku tahu bahawa ujian ini sememangnya dipilih oleh Allah untuk Aku hadapainya kerana aku MAMPU;


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya". Al Baqarah;286


Berjalan seperti di awang-awangan dan fikiran melayang entah ke mana, itu yang kurasa sejak 2 minggu lalu, serasa tidak mampu ku berdiri lagi seteguh dulu. Ujian bermadu jauh lebih ringan dari ujian ditarik nikmat Allah seperti ini. Tapi aku tahu bahawa aku tidak boleh berputus asa;


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman". Al Imran;139


Semua nikmat Allah sementara, bila-bila boleh diambil semula. Dunia ini pinjam-pinjaman, akhirat kekal abadi...Aku harus tanamkan dalam-dalam di lubuk hati bahawa;


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka" At Taubah;111


Aku tahu bahwa hidup ini sementara, segala-galanya sementara semuanya pinjaman tak ada satupun milik kita. Hatta menggerakkan satu jari pun dengan izin Allah. Awal-awal suami diserang stroke aku dan suami begitu kuat, tiada setitis air mata kutumpahkan kerana kami yakin ujian ini ada hikmahnya. Bila kutanya suami yang terbaring di katil hospital, jawabnya tetap satu;


"Ini semua ujian Allah, selama ni kita hanya cakap Allah berkuasa makhluk tak ada kuasa, sekarang ni kita kena yakin bahawa Allah sahaja yang boleh gerakkan abang walaupun hanya untuk gerakkan jari-jari abang ni..., kita perlu redha, ini ujian Allah. Sekejap saja Allah nak tarik nikmat bergerak".


Apabila masuk hari ke 5 dan 6, air mata ini tidak boleh kutampung lagi, dengan hanya memandangnya sahaja aku boleh menitiskan air mata. Sambil memberi kata-kata semangat, "ini ujian Allah bang, yakinlah Allah maha adil dan penyayang, kami masih perlukan abang, insyaallah Allah akan bagi abang sihat macam dulu... kita sama-sama usaha ye..." saat itu kedua-dua kami menitiskan air mata. Suami yang dulu tidak pernah kulihat mentiskan air mata di depanku kini umpama bayi kecil. Apakan daya, Allah pilih kami untuk diuji, untuk ditingkatkan iman dan untu dinaikkan darjat dan untuk kifarah dosa-dosa lalu.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dam sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta". Al Ankabut;2-3


Saat tak seorangpun faham perasaanku, aku perlu berlari padaNya, serahkan jiwa, raga kepada Nya, jangan berharap pada manusia, Haraplah pada Allah DAN jangan meminta pada manusia mintalah pada Allah. Itu harus kuingat lagi dan lagi dan lagi ...... sehinggalah rahmat Allah datang pada kami sekeluarga.


"In every Good Deed Allah Will Help, Allah knows what's best for us"
Aku perlu kuat.... Allah sayang aku.... Allah pilih aku.... aku perlu SABAR dan SOLAT!!!



Suara hati dan pemikiran siti detik 7/11/2006 03:53:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Stroke


Wassalam

No comments: