Friday, August 18, 2006

Penantian satu penyiksaan

Assalamualaikum w.b.t



Lama benar tak menulis di sini... memang terasa ada sesuatu yang kurang sejak ada blog ni tapi tidak dikemaskini, tetapi memandangkan azam hanya untuk berblog dari rumah menyekat saya dari menulis semasa di pejabat walaupun keinginan berkobar-kobar. masalahnya talian telefon telah lama disambung ke rumah baru, tetapi perhidmatan streamyx pula bermasalah. Permohonan perpindahan dibuat dari 22.07.2006 tetapi sehingga kini streamyx tak berfungsi lagi.


Semalam tecnician TM datang, rupa-rupanya baru saya tahu bahawa kesilapan saya sebenarnya yang menyebabkan internet rak berfungsi. Plug untuk wayar yang saya sambungkan dari modem ke soket rupa-rupanya bukan plug untuk modem sebaliknya plug untuk telefon cordless Panasonic saya tambahan pula pin nya begitu secocok walaupun ia bukan wayar sebenar. Sebelum ini saya dan suami kerana ketidaksabaran kami telah mencucuk pin modem dengan sekuat-kuatnya, semalam dimaklumkan oleh staff TM pin dalam modem telah rosak. Terpaksa ditukar baru.


Bila dipasang yang baru, timbul lagi masalah, password terdahulu pula suami terlupa. Bila hubungi TM Net untuk re set password baru, "line busy". Jadi hari ini, saya tak sabar lagi menunggu untuk berblog jadi sekarang masa rehat, maka saya dengan rasa bersalahnya terpaksa juga berblog dari pejabat.


*************


Cerita semasa (apa lagi, rumahtanggalah...)
Dari 4 hb Ogos hingga 13 Ogos saya bercuti rehat. Cadangnya mahu membawa suami tinggal di rumah saya. Tapi perancangan Allah juga yang jadi, bukan sumai yang datang ke rumah sebaliknya sepanjang tempoh itu saya yang tinggal di rumah madu saya. Apa nak buat, kerana suami kuturutkan semua. Sudahkah saya ceritakan bahawa suami saya sudah tidak tinggal di daerah KP lagi, Kak A sekeluarga telah membawanya pindah ke PD jaraknya sekarang dekat sedikit tetapi melalui lebuhraya bertol RM 2.90 sehala, jalannya juga tidaklah seberliku jalan ke KP yang memakan masa labih sejam. Kini dalam masa 30 minit saya sudah boleh tiba ke rumah Kak A di PD.


Semuanya terjadi kerana suami tidak lagi bercadang menyambung bekerja, dengarnya ingin berhenti. Tak taulah, sebab dia tak pernah bincang dengan saya. Walaupun makan hati berulam jantung saya terpaksa bersabar dalam diam menurut kehendak suami. Walaupun di rumah Kak A tapi kali ini dia bermurah hati membenarkan saya tidur di sebelah suami. Bukan kami berdua sahaja, semua berjumlah 7 orang bergelempangan di ruang tamu rumah kak A yang memang luas (Double storey, bukanya pun 24"), cumanya saya tidur satu toto dengan suami dan anak manakala Kak A di sebelah saya tidur di atas tilam single bersama anaknya yang menyusu badan. Faham-faham sahajalah bila tidur melambak, apalah yang boleh "dilakukan", sentuh menyentuh pun perlu dikawal. Berbanding di rumah saya, hanya kami bertiga sahaja, buatlah apa sahaja tiada siapa peduli! Makanya, bertambah-tambahlah sayunya hati saya....



Ini satu lagi cerita. Suami ada menyuarakan hasratnya dengan saya untuk memandu kereta saya, Kembara Auto kerana tak mahu menyusahkan Kak A untuk menghantar dan mengambilnya pulang dari surau. Tetapi Kak A menghalang, tidak tahulah saya apa puncanya. Memandangkan suami sebelum ini pun terkenal di mata saya dengan "takutnya" dia apabila Kak A mengamuk (berkecil hati/merajuk/bertekak) maka tak jadilah perancangannya. Saya juga sekali lagi terpaksa berlapang dada, saya sebenarnya suka yang teramat-amat suka apabila suami kata dia ingin memandu kereta, bagi saya biarlah dia berdikari, tak ada salahnya, memang dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan fizikalnya kini. memandangkan dia kini sudah boleh jalan bertongkat, maka adalah lebih baik dia mencuba sesuatu sebelum badannya menjadi lebih manja.


Untung-untung selepas ini dia boleh memandu sendiri dan datang ke rumah saya sendiri tak perlu Kak A hantar atau saya mengambilnya. Saya sendiri juga telah mencuba menadu menggunkan tangan dan kaki kanan sahaja dalam perjalanan pulang dari pejabat ke rumah yang mempunya labih 10 traffic light dan selekoh tetapi tiada masalah pun!
Semalam saya ke PD sebelum rehat tengahari kerana saya teramat rindu dengan suami dan terlebih-lebih lagi anak yang saya tinggalkan terus di sana kerana nak dihantar ke rumah pengasuh pun dah separuh bulan, lagipun saya bercadang nak beri duit untuk pengasuh tu kepada Kak A atas penat lelah menjaga anak saya. Tambahan pula saya bercadang berbincang hal kerja dengan ketua cawangan di PD.



Bagaimanapun belum pun sempat bermanja dengan suami dan anak saya telah dipanggil ke pejabat semula untuk bermesyuarat. apakan daya, semasa perjalanan pulang, berjuraianlah air mata saya kerana terlalu marah dengan pengarah yang gila bermesyuarat dan tak pernah faham setipa manusia ada masalah peribadi tetapi dia sentiasa minta kita letakkan keluarga jatuh nombor dua dan kerja no 1 dan juga kerana terlalu marah dengan suami yang tak pernah memikirkan kepenatan saya berulang alik menjenguknya.


Sepatutnya dia perlu menyuarakan hasratnya untuk balik ke rumah saya... lebih seminggu saya di sana tak pernah keluar dari mulutnya untuk ke rumah saya!!! Mulanya alasannya kerana nak ke surau mudah, ada kawan-kawan membantu, tetapi setiap kali menghantar dan mengambilnya kami isteri-isteri aje yang membantu, dan katanya mahu menimbus pasir pantai di badannya tetapi minggu ini sekalipun tak ke pantai hanya saya membawanya 2 kali dalam tempoh saya bercuti tempohari. Hari ini baru ke pantai selepas saya menelefonnya marah-marah semalam semasa perjalanan balik ke pejabat kerana alasan mahu ke pantai tak terbukti. Khamis sepatutnya ke fisioterapi juga dia tak pergi...



Sepanjang cuti seminggu saya telah membawanya ke bandar AG yang jaraknya hampir 200 km pergi dan balik untuk rawatan acupuncture dan menelan kos melebih RM 400.00, manakala petang harinya bawa ke pantai untuk kaedah tanam dalam pasir. Saya juga hantar dan ambilnya ke surau dan masjid untuk sembahyang jumaat dan rawatan fisioterapi. Tapi minggu ini apabila saya telefon asyik "ayah" tidur sahaja jawapannya apabila hp suami dijawab oleh anak tiri suami, Khairin.
Malam tadi, kerana marah yang masih bersisa saya tidak menjawab panggilannya dan hari ini saya memanggilnya kerana masalah internet.


Hati ini begitu berat nak pergi ke PD petang ini tetapi mengenangkan anak, Hani saya fikir kemungkinan besar saya akan pergi juga petang ini atau selewat-lewatnya malam ini. Kalau tak sempat juga, mungkin esok pagi, kerana saya teringin menguji samaada dia akan menelefon saya atau tidak petang ini sekiranya saya masih tidak sampai juga... walaupun saya tidak menaruh harapan yang dia sangat-sangat berharapkan kedatangan saya.



Adakala saya berfikir adakah dia terikat untuk terlalu menjaga hati madu saya kerana sekiranya dia melukakan hati madu saya, siapa yang akan menjaganya memandangkan saya bekerja, kerana itulah dia terlalu berhati-hati (serius?) berkata-kata dengan saya kerana 24 jam madu saya juga turut ada bersama. Tetapi kalau di rumah saya lain pula ceritanya... kami bebas bercerita. itulah sebabnya saya kata, suami saya kini berubah.... bukan seperti yang saya kenal dulu. Semuanya kerana keterbatasan yang ada kerana cinta tiga dimensi ini... Pada malam Sabtu lalu suami ke Sri Petaling dibawa oleh kawannya kerana ada perhimpunan tabligh dan sampai ke rumah, madu saya yang mendekatinya untuk beri khidmat apa-apa yang perlu... dan sambil-sambil itu bertanya suami tentang perjalanan tadi sambil memberi solaan ala-ala manja gitu...dengan suaranya yang dilembut2kan.


Saya yang turut ada berbaring di situ (semua anak-anak telah tidur, hanya kami yang berjaga menunggu suami) begitu getik mendengarnya. Seolah-olah perang psikolgi kemudian saya pula mengajukan soalan dan cuba bergurau-gurau dengan suami... saja bagi madu saya pengajaran lain kali jangan cuba bermanja depan saya, saya boleh buat lebih lagi.



Semalam semasa saya datang ke rumahnya, nampaknya sambutan agak dingin, tak berapa hangat terutama apabila sumai memesan saya membelikannya lauk sedangkan pada ketika itu, Kak A sedang sibuk memasak, marah agaknya, kerana saya lihat dia sedang membakar ikan terubuk. Apapun, apabila sampai masanya saya perlu sedar diri bahawa saya menumpang, rumah itu bukan suami yang punya, ia dibeli Kak A hasil duit yang diperolehi akibat kematian suaminya yang terdahulu. Jadi sebenarnya serba salah juga saya menumpang di situ berlama-lama. Mungkin suami tidak pernah terfikirkan hal itu. Apapun, beras dan lain-lain keperluan ada juga saya sumbangkan termasuk susu anaknya yang berkongsi dengan anak saya memandangkan anaknya kini dalam cubaan berpisah susu badan. Saya juga turut memberi cash money kepada suami buat belanja apa-apa keperluan beliau dan anak.


**********


Dalam pada itu, suami ada mencadangkan kepada saya supaya saya memakai Nissan Serena kepunyaannya sementara dia memakai kembara saya, memandangkan satria kak A adalah manual maka adalah sukar untuk suami membawanya manakala serena yang auto pula terlalu besar untuk dipandu suami dalam keadaan kurang upaya ini. Malangnya semasa suami bercakap dalam hp dengan saya berhubung hal ini rabu lalu, kak a merampas (andaian saya) hp di tangan suami dan tiba-tiba dia bagitau saya tak perlu, dia minta saya buat kerja saya, dia masih mampu menghantar dan mengambil suami ke surau... "abang kau ni merepek jer... katanya". Saya yang terkejut dengan tindakan Kak A itu kemudiannya bertanya dengan suami yang saya call petangnya samaada dia serius nak memandu, jawabnya ...ya! Tapi semalam langsung dia tak buka cerita... apa sebabnya... belum sempat saya siasat lagi.



Saya mengandaikan Kak A sebenarnya memang tak membenarkan saya memandu serena itu kerana sedari beli setahun lalu, hanya sekali saya berpeluang menaikinya itupun kerana saya ada mesyuarat di penang dan menangung kos minyak serena itu. Agaknya pemergian saya, suami dan anak itu tak diketahui oleh Kak A. Selain itu, ia sentiasa berada dengan kak A dan kini ia diparking di rumah mak Kak A yang saya langsung tak nampak kelibatnya. Semasa di rumah saya juga pada minggu-minggu awal semasa mahu mengalihkan serena itu dia seolah-olah tak percaya saya memandunya, kerana setiap kali suami minta mengalihkannya atas sebab-sebab tertentu pasti dia sendiri yang mengalihkannya dan sekali itu, katanya "biar akak alihkan akak je yang tahu guna remote ni, walhal saya dah pun gunakan sebelum ni...


Suami juga malamnya ada menelefon saya dan memaklumkan dia bercadang nak memandu kereta kembara dan meminta saya trade ini serena dan ambil Naza ria saya cadangkan ambil avanza saja, tapi katanya alang-alang ambillah naza ria. Tapi agaknya kalau kak A tahu cadangan ini lagi dia marah agaknya. Dia yang memujuk suami mengambil MPV kerana anaknya 5 orang satria tak mencukupi, tetapi bayaran bulanannya suami yang tanggung. Tapi pada masa ini sebenarnya serena itu satu pembaziran, kerana ia tidak digunapakai, bayaran bulanannya tinggi, suami tak selesa menaikinya kerana tinggi dan bergoyang terlalu kuat. Jadi menukarnya kepada kenderaan yang lain dan kosnya ditanggung oleh saya manakala suami membayar kembara yang lebih rendah bayarannya adalah yang terbaik, agaknya....


Apapun, saya akan berdoa semoga semuanya akan balik ke normal secepat mungkin... Amiin.


Bebelan saya ini hanya luahan hati saya, tak berniat memburuk-burukkan suami dan kak a, apapun dia tetap suami dan madu saya kalau jodoh kami panjang. Kak A baik mungkin saya yang buruk perangai dan rupa... semoga Allah ampun kan saya.
terima kasih pada Abdullah Jones yang masuk ke entry ini...kalau stremyx kat rumah dah ok saya akan menulis hari-hari, itu azam saya...
p/s : Tajuk penantian ini sebenarnya merujuk kepada seksanya saya menanti suami saya untuk balik ke rumah saya... disamping menanti perkhidmatan streamyx yang bermasalah



Suara hati dan pemikiran siti detik 8/18/2006 12:30:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Baiti jannati

Wassalam

No comments: