Tuesday, September 12, 2006

Anakku

Assalamualaikum w.b.t

Tuesday, September 12, 2006


Anak saya nama Hani, diberi nama oleh ayahnya sempena nama sahabat Ummu Hani... kemudian saya tambah dengan nama Su.... (maksudnya yang mudah, yang tidak suka berbalah, yang senang mengalah) kerana saya mahu bercita-cita jadikan anak saya seorang patuh kepada ajaran Allah dan bukan seorang pemberontak/penentang/suka berbahas/suka nak menang sahaja. Daripada lebih kurang 10 nama yang disenaraikan sumai semasa saya masih si hospital saya memilih nama Su...Tapi, ada sesetengah orang kata perangai anak akan bertentangan dengan nama yang diberi. Benarkah?



Anak saya nampaknya menjadikan saya seolah-olah mengiyakan hipotesis orang-orang tua. Sikapnya yang gemar menjawab percakapan saya dan sering mencari gaduh dengan saya dan lebih terpancar sifatnya yang enggan mengalah apabila bermain dengan adik-beradiknya (anak madu saya) buat saya terfikir (adakalanya) untuk menukar namanya. Tapi apa nama yang paling sesuai? Semalam, sekali lagi dia menguji kesabaran saya! Setelah melalui proses memujuk hampir sejam untuk dibawa balik dia masih berdegil enggan mengikut saya, sehingga tahap kesabaran saya tercabar.


Lantas saya gunakan kekerasan, kali pertama gagal kerana dia yang berusia 3 tahun 4 bulan meronta diatas dukungan saya dan berjaya meloloskan diri turun dan lari masuk ke rumah Mak ros dan terus memeluk abah (suami Mak Ros). Lantas saya terus mencangking (betul ke istilah ni) terus menyumbatnya ke dalam kereta, sayangnya semasa saya menuju ke tempat pemandu dia membuak pintu dan melungsur turun dan mencicit lari masuk ke rumah semula. Ah.. bengang sungguh rasanya. Terus saya menghidupkan enjin kereta dan jalan tanpa menoleh ke belakang dan terus pulang ke rumah yang berjarak 8 km dari rumah Mak ros.


Jam menunjukkan jam 6.30 pm dan saya tidak punya masa kerana semalam saya berpuasa... dengan perut yang lapar dan berhajat untuk ke Pasar malam di depan rumah menyebabkan saya hilang pertimbangan. Saya ingin perang dingin dengan anak saya! Itu azam saya semalam semasa memandu kereta balik. Lalu saya menelefon suami dan kata-katanya hanyalah "sabarle..", dalam keadaan menangis saya katakan padanya saya ingin mengambil orang gaji. Biar anak saya tak jumpa Mak Ros kesayangan dia lagi sampai bila-bila...Rasakan, biar dua-dua rindu-rinduan. Bukan kali pertama anak saya tak mahu balik mengikut saya tapi keadaan ini terpaksa saya hadapi hampir setiap minggu pasti ada hari mood dia tak ok dan enggan balik. Bukan sahaja enggan balik bahkan tak membenarkan saya masuk ke dalam rumah Mak Ros. Boleh sabarke?


Bila malam saya fikir-fikirkan, mungkin saya yang salah! Bukan semua orang beruntung mendapat pengasuh anak yang sangat-sangat baik, tapi saya dapat orang yang jaga anak saya terlalu baik sehingga anak pula tak mahu balik ke rumah. Sesetengah orang berhadapan masalah dengan pengasuh tapi saya bukan bermasalah tapi terlebih bagus pula. Dulu saya mengambil orang gaji untuk tempoh 2 bulan sahaja dan sebulan saya tak hantar Hani, rupa-rupanya kedua-duanya demam rindu dan mak ros pula hingga terdengar-dengar suara Hani memanggil2nya di depan pintu rumah.



Akhirnya saya hantar semula dan sebagai mengambil hati Mak Ros kerana senyap-senyap mengambil orang gaji saya belikan hadiah sebentuk cincin emas. Anak sya pula hari-hari menangis semasa saya hendak keluar rumah sehingga menyebabkan saya sentiasa terfikirkannya semasa di pejabat, ok ke, makan ke, macam-macam lagi. Dan akhirnya saya dapati anak saya kerap ditidurkan di dalam buai dan orang gaji melepak depan TV sambil berbaringan di atas sofa kulit saya. Tapi dengan Mak Ros saya tak pernah risaukan Hani. Setakat 3 tahun ini hanya 2 kali sahaja Hani terjatuh sehingga benjol dahi dalam jagaan Mak Ros sedangkan dengan saya sudah banyak kali terjatuh, tu tak masuk jatuh katil ketika tidur.



Mak Ros juga tak pernah menolak kiranya saya letakkan Hani bermalam adakalanya sehingga seminggu dan tidak pernah dalam sebulan Hani tidak bermalam di rumah Mak Ros, ada sahaa kerja atau kursus saya. Minggu lalu sahaja dua kali dia bermalam, sekali ke JB dan sekali berceramah di PD. Saya memang patut bersyukur.



Perang dingin yang saya ingin buat dengan anak rupa-rupanya bertahan satu malam sahaja. keinginan untuk telefon dia malam tadi saya pendamkan, tetapi pagi ini dalam perjalanan ke Mahkamah saya singgah juga rumah Mak ros kerana teringatkan dia dan sebaliknya pula pagi ini ditarik-tarik kain saya sebab nak ikut saya bila saya kata "ibu nak pergi mahkamah". Agaknya dia ingat mahkamah tu tempat yang menarik. Dan Mak Ros juga kata, malam tadi dia cakap "Mak Ros telefonlah ibu", oh rupa-rupanya dia ingat juga ibu dia! Alhamdulillah.


saya juga membeli buah rambutan di pasar malam kerana selain orange/limau hanya buah rambutan sahaja yang dia suka. Selepas subuh tadi saya bukakan kulit rambutan dan mengisikannya ke dalam satu mangkuk dan sejukkan ke dalam peti ais semata-mata nak berikan dia balik petang ini. Pasti dia gembira... janganlah petang ini dia tak mahu balik lagi... saya pasti bersedih lagi...


Apapun... ada hikmahnya mungkin layanan Mak Ros jauh lebih baik dari layanan saya. Maklumlah malam yang pendek saya tak bermain dengan dia akhir-akhir ini, saya selalu bawa balik kerja ke rumah terutama sekali sejak membuat pendakwaan. Untuk perbicaraan kes seterusnya di JB pada 23/23 Nov dan di sini pada 7&8 Febuari 2007, saya punya masa yang panjang untuk persiapan. Selepas selesai kerja-kerja tertunggak khususnya Kertas siasatan, laporan dll saya akan tumpukan pada Hani dan akan ambil cuti untuk khidmat suami.



Suara hati dan pemikiran siti detik 9/12/2006 05:05:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Hani


Wassalam

No comments: