Friday, September 8, 2006

Buku catatan baru

Assalamualaikum w.b.t

Friday, September 08, 2006


Hari ini sebagaimana semua tahu, kita mendapat buku catatan baru kerana catatan bagi setahun yang lalu telah dihantar untuk dinilai. Kalau saya nak muhasabah semula, setahun lalu rasanya lebih banyak dosa dari pahala. Justeru malam tadi saya azam untuk mulakan catatan dalam buku saya dengan amalan-amalan baik. Seboleh-bolehnya setiap inci ruang dan masa saya akan manfaatkan untuk sesuatu yang bermakna untuk kehidupan selepas ini. Malam tadi adalah malam nisfu syaaban dan selepas solat maghrib saya menbaca Yasin 3kali untuk dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan ditingkatkan iman. Selepas itu, seya membaca hadith-hadith nabi semoga nur hadith itu akan menyelinap ke seluruh ruang rumah saya.



Pagi ini pula jam 4.30 pagi saya sudahpun bangun dan saya memulakannya dengan solat tahajud dan kemudian solat hajat sebelum saya kemudiannya menunaikan solat subuh. Walaupun semuanya nampak zahirnya benda-benda baik yang saya lakukan tetapi sebenarnya kita tak tahu penilaian Allah, hanya amalan yang ikhlas sahaja diterima Allah. Sedekah emas sebesar gunung Uhud sekalipun jika tidak ikhlas tidak ada nilai disisi Allah. tetapi jika sedekah sebesar biji sawi tetapi ikhlas Allah akan bagi ganjaran sebesar Gunung Uhud.



Ikhlas ini adalah seperti semut hitam dimalam yang gelap di dalam gua yang kelam dan hitam... ia memang sukar untuk dipandang dengan mata kasar.



Suasana dan aura dipejabat mengubah mood saya hari ini, saya putuskan untuk tidak menghadirkan diri membaca yasin dan itu mungkin satu keputusan yang silap. Jam 10.00 pagi mesyuarat pemantauan IP (Investigation paper) teruk saya dibelasah kerana masih ada laporan-laporan yang tidak disiapkan. Sejak suami sakit, pindah rumah dan sekaligus saya membuat pendakwaan banyak kerja seharian saya tertunggak. Saya GAGAL menguruskan masa saya, saya terlalu leka dibuai perasaan sedih, terlalu mengikutkan badan yang letih dan saya suka bertangguh. Tentulah pengarah bersuara kerana mahu mendidik dan membentuk saya. TAPI dalam hati saya mengomel (perlahan) betapa saya benci, menyampah, meluat dan tak mahu berada dalam bilik itu. Saya mahu lari jauh dan jauh.



Alangkah bahagianya jika saya boleh berada di sejadah mengaji dan solat dan zikir dan muhasabah dan fikir dan insaf dan tahu bahawa hidup ini sementara... takde sesuatu yang boleh digambarkan tentang betapa nikmatnya syurga dan betapa sengsaranya neraka. Kalaulah kita tahu pasti kita didunia ini berebut-rebut untuk masuk syurga Allah.



Saya juga ingin begitu Tapi tak mampu. Kadang-kadang saya rasa tak punya masa untuk beribadat dengan tenang pada masa sama satu ibadat yang mengesankan hati kerana saya terlalu sibuk dengan dunia ini.... bermatian-matian membuat kerja tidak tidur siang dan malam, berusaha sungguh-sunggub mencari salah orang sehingga boleh didakwa di mahkamah dunia, mengorek hal-hal peribadi luar dalam kain orang semata-mata mencari bukti bahawa apa yang mereka dapat bukan hak mereka, Tapi saya sendiri tidak menunaikan hak ibubapa, hak suami, hak jiran, hak anak, hak kawan-kawan... saya tak punya masa ikram mereka... saya sibuk dengan dunia saya.



AKHIRNYA, apa saya dapat, saya tak dapat apa-apa saya hanya dapat kata-kata mengutuk, marah, ugutan, kejian dan menuntut saya membuat segala-galanya... apa saya sumbangkan tak pernah dipuji... malahan saya dimalukan (patutke saya malu?) didepan anak-anak buah! Kerja saya tak pernah selesai, habis satu datang dua dan tiga dan empat.... sedang saya ini kerdil begitu kerdil untuk melunaskan sesuatu tuntutan dalam satu tempoh terhad.



Tapi tidak begitu kalau kita kerja untuk Allah, Allah tak pernah marah saya... tak pernah ugut saya walhal yang diberinya terlalu banyak. Saya tak diuji dengan ujian yang maha berat, setakat suami sakit, saya tidaklah terlalu terkesan selagi suami saya boleh beramal dan berfikir, itu masih okay. Anak tak pernah sakit... rezeki tak pernah putus. Tapi saya kerja dengan manusia, tak pernah pengarah saya puas hati dengan kerja saya, malahan leteran dan bebelannya berlanjutan dari hari ke hari sejak lebih setahun lalu berkuasa di negeri ini.


Mungkin kutukan saya dan rakan sepejabat telah berbakul-bakul terhadapnya namun dia tak pernah berubah malahan kerakusannya mengawal, memerintah, mengarah, membebel, mengugut, menggertak dan menggunakan kuasanya membuatkan kami sentiasa panas punggung sekiranya dia ada di sini.



Ampun Ya Allah, hambamu ini lemah dan kerdil hanya manusia biasa. Tak mampu nak memenuhi segala-galanya. Bukan mahu kufur nikmat Mu tetapi adakalanya Ya Allah kau berilah ruang untuk hambaMU ini bernafas supaya dapat Ku atur hidupku ini. Aku mahu masuk syurga Mu Ya Allah. Pandanglah pada HambaMu ini...


AKU MAHU BERHENTI KERJA, YA ALLAH... BERILAH AKU RUANG LAIN MENCARI REZEKI DIBUMI YANG LUAS INI.


Suara hati dan pemikiran siti detik 9/08/2006 12:52:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Introspeksi



Wassalam

No comments: