Wednesday, September 27, 2006

Sayang anakku sayang

Assalamualaikum w.b.t



Wednesday, September 27, 2006


Apabila suami declare nak berpisah tidak ada perkara lain yang terlintas di hati melainkan perasaan kasihan kepada anakku, Hani. Terlalu kecil dia akan kehilangan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya dari seorang ayah. Walaupun sebelum ini memang kurang dia dapat bersama ayahnya tetapi sekurang-kurangnya apabila ayahnya ke masjid dapat juga dia ikut sama dan pada hujung minggu juga dapatlah kami berjalan-jalan sekeluarga. Tapi kini semuanya tidak akan berulang lagi. Segalanya kerana sikap ayah dan ibunya yang ego dan mementingkan perasaan sendiri. Saya terpaksa akui kelemahan saya sendiri, bukan saya tak kasihankan anak tetapi ayahnya yang tak mahu terima saya lagi... Sebelum ini ikut perjanjian lisan suami pernah berkata apa-apa hal berlaku pada rumahtangga kami dia akan mengambil Hani untuk dididik dan saya secara tak sengaja pernah menyetujui cadangan itu.



Pada masa itu, suami seolah-olah meyakinkan saya bahawa saya tidak mampu untuk mendidik Hani menjadi seorang hafizah, alimah dan dhaie' dan saya seterusnya bersetuju tanpa memikirkan kesannya pada diri saya dan anak. Tapi kini biarlah saya berpatah arang berkerat rotan untuk pertahankan anak yang saya kandung 9 bulan itu, langkah mayat saya dahulu sebelum mengambil anak saya. Biarlah dia membesar di depan saya. Apatah lagi suami tidak ada menyumbang langsung terhadap keperluan fizikal Hani sejak dia dilahirkan.


Sayalah yang membelikannya susu, pampers, pakaian dan segala-galanya. Saya tidak dapat mengemukakan/mencari walau sehelai bajupun yang ayahnya pernah membeli untuknya. Begitu juga kos perubatan dan seingat saya hanya dua kali sahaja ayahnya menemankan saya membawanya ke klinik. Apatah lagi mainan dan keperluan lain. Untuk diri saya pun begitu juga, hanya sehelai jubah dan sehelai tudung/purdah sahaja pernah dibelikannya. Tapi saya tidak kisah itu semua sebenarnya asalkan kami bahagia dan dia menerima kelemahan saya.


Tapi sebaliknya walaupun 4 tahun pertama perkahwinan saya kad gaji dan kad kredit saya adalah dipegang oleh suami dan semua bayaran hutang piutang saya dialah yang membayarkannya tapi dia tidak engahrgai saya sewajarnya. Ketika itu saya hanya akan diberi sejumlah tertentu untuk bayaran Mak Ros, dan belanja diri sendiri. Pada masa itu, terus terang saya katakan untuk membeli pakaian dalam pun saya akan berfikir beribu kali. Puncanya saya sentiasa dimomok-momokkan bahawa perbelanjaan saya boros, gaji saya tak seberapa dsbg.


Saya seolah-olah percaya dan kesiankan suami yang pada masa sering kesempitan wang dan masa itu dia berulang antara rumah Kak A dengan rumah saya menggunakan kereta. saya menyerahkan satu kad kredit padanya untuk kemudahan perbelanjaan isi minyak dan lain-lain sementara saya gunakan satu lagi dan setiap bulan wang gaji sayalah yang digunakan untuk membayar bil kedua-dua kad itu walaupun suami yang gunakan.


Saya juga tidak boleh menyentuh isu duit sekiranya tersentuh suami yang sedia sensitif akan merajuk dan memulangkan semua kad-kad saya. Saya yang merasa bersalah akan memujuknya dan memulangkan kembali kad-kad saya itu. Pada masa itu, walaupun hati saya memberontak tapi kerana sayangkan suami saya turutkan sahaja kehendaknya. Katanya jika perempuan bergaji lebih dan memegang duit banyak maka akan hilang rasa hormat pada suami. Itu katanya menurut pengalaman pada perkahwinan yang pertama. Saya yang masih mentah turutkan sahaja. Pada masa itu saya taklah terasa sangat bahawa sayalah yang menanggung segala-galanya kerana semua perbelanjaan dapur dan lain-lain saya serahkan pada suami membayarnya dan seolah-olah semua perbelanjaan keluar dari poketnya sendiri.


Acapkali bila membeli belah saya akan berfikir banyak kali untuk mengambil barang yang berkenan kerana fikirkan banyak perlu dibayar nanti walhal itu semua duit saya cuma suami yang pegang. Saya diperkudakan diluar kesedaran saya. kadang-kadang rakan sepejabat pelik melihat saya yang kerap menolak kalau diajak membeli belah kerana puncanya hanya sebab saya tidak punya wang ditangan. Ada yang memuji saya sebagai isteri mithali dan ada juga yang menjadi batu api.


Bagaimanapun selepas dua kali kes kereta saya ditarik penarik kereta kerana suami saya terlupa membayarnya saya sudah mula berfikir-fikir bagaimana cara terbaik saya boleh menguasai kembali pengurusan kewangan saya. Suami hanya akan memulangkan semuanya sekiranya kami bergaduh dan seterusnya beliau akan mengugut supaya saya cari kebahagian sendiri (nak cerailah tu!) dan dia kata uruskanlah hidup saya sendiri kerana saya tak perlukan suami lagi... dah banyak duit. Saya diyakinkan bahawa saya tidak mampu uruskan duit saya kerana saya boros dan dia memberi amaran janagn minta tolong padanya di hujung bulan.


Dari dulu dia memang sensitif fasal duit kerana dia pernah satu ketika mempunyai baki gaji bersih sebanyak hanya RM 222.20 dan saya juga pelik melihat bagaimana dia boleh survive hidup dengan 2 isteri. Rupa-rupanya taktik digunakan begitu... pada masa itu saya hanya mempunyai komitment bayar kereta sebanyak RM 312.00 (kancil) dan kami tinggal di kuarters kerajaan mengikut kelayakan saya. Gaji bersih saya melebihi RM 2,000.00. tapi tiap kali dia katakan gaji saya tidak cukup sedangkan kami hanya berdua sahaja (saya dan anak). Pada masa itu saya juga seakan-akan buta kerana sayang sangat pada suami.


Tapi selepas pergaduhan kami tak ingat bila tetapi saya rasa dalam awal tahun ini atau tahun lepas dan dia seperti biasa ugut nak cerai dan dia tinggalkan kad kredit dan ATM saya maka saya selepas itu tidak memulangkan langsung kepadanya sehinggalah hari ini. Pergaduhan itu menyebabkan dia tidak balik ke rumah selama 2 minggu dan akhirnya saya memujuknya balik dan kami berbaik semula. Tetapi pada masa itu semua urusan rumah baik lauk, makan diluar dan sebagainya iaitu berkaitan dengan hal duit semua dia buat tak tahu sahaja. Dia tak pernah tanya ada lauk atau tidak. Saya terpaksa sesuaikan diri dan sayalah ke pasar dan adakala saya memberinya RM 50.00 dan saya mintanya ke pasar semasa dia sembahyang subuh.


Selalunya wang berkenaan berlebihan kerana dia selalu hanya membelikan saya ikan kecil samaada selar, cencaru, kembung atau mabong sahaja. Duit lebihan tak pernah dipulangkan. Begitu juga kalau membeli belah di supermarket. Saya akan memberinya siap-siap duit Rm 200 atau sebagainya dan bakinya juga tidak dipulangkan. Saya tak pernah persoalkan hal itu.


Sejak saya menguruskan sendiri kewangan saya beberapa kali juga dia perli saya kalau membeli barang sebab saya seumpama melepas geram seteelah 4 tahun tidak dapat membelanja ikut sesuka hati kini saya bebas dan dapatlah saya rasa nikmat hasil dari penat lelah saya bekerja bagai nak mati. Saya membeli beberapa set periuk vision, saya membeli banyak baju anak yang mahal-mahal, pelbagai tudung, pakaian dalam dan perkakas rumah. Setiap kali dia nampak saya membeli benda baru nampak seakan-akan dia membantah dalam diam.


Dan sesekali bila saya putus duit (tak minta dia pun) saya akan ke tabung haji dan dia turut kata dengan saya haha baru rasa pegang duit sendiri.. boros sangat. Tapi saya tak kisah habis duit sebab saya nampak barang yang saya beli. Maklumlah kita dah ada rumah takkan nak kosongkan rumah je sedangkan pegawai lain yang duduk di kuarters pangkat dan gaji lagi rendah dari saya boleh beli macam-macam dan saya masih tetap dengan kereta kancil.


Dari dulu zaman anak dara saya ada membeli insurans tetapi bila berkahwin saya diminta hentikan kerana bertentangan prinsip dengan dia, begitu juga dengan anak, saya tak dibenarkan membeli insuran pendidikan untuk anak kerana pelbagai alasan dialah... malas saya nak cerita sini. Saya juga tak dibenarkan beli saham ASB, malahan saya membuat tolakan tabung haji sebanyak RM 400 sebulan juga dibuat semasa saya bergaduh dengannya. Apa-apa sahaja yang saya buat selalunya mendapat tentangan dari dia. Jadi, selalunya apa yang saya nak masa bergaduhlah saya akan tunaikan. Macam hari ini saya dah membuat pinjaman Maybank RM20,000 untuk dilabur dalam ASB dengan bayaran bulanan RM 151.00. Tak kisahlah walaupun makan masa 20 tahun tapi saya ada komitmen menyimpan. Kalau tak dikeluarkan dividen dalam masa 8 tahun dah boleh settle bayaran.


Saya kena mula bersedia dengan perancangan kewangan kerana kini saya akan buktikan bahawa diri saya juga boleh jadi pengurus kewangan yang bagus. Tambahan pula kini saya dah ada rumah sendiri, kereta cukuplah sekadar kembara buat masa 2-3 tahun ni. Kalau naik pangkat awal tahun depan dan ada kenaikan gaji RM 600 barulah saya fikirkan untuk menukar kereta. Itupun kalau tak ada perancangan lain. Dalam masa 10 tahun ini saya mahu saya ada simpanan sekurang-kurangnya RM 15,000. Saya tak mahu bekerja sehingga usia tua. Cukuplah kalau saya berhenti setakat umur 45 tahun. Tapi kalau pada masa itu gaji saya menjangkau RM 7,000 tak taulah saya samaada saya akan berfikir dua kali. Saya juga akan ajak ibubapa saya tinggal bersama kalau mereka bersetuju. Tidak ada suami akan dipandang serong oleh orang luar eloklah saya bawa ibu bapa saya tinggal bersama. Rumah di kampung pun terlalu buruk.


Harapan saya semoga Allah memberi saya kesihatan yang baik dan perancangan saya dimakbulkan Allah. Berilah saya sinar kebahagian setelah sekian lama menderita. Kalau jodoh saya masih ada saya kalau boleh tidak mahu dibebankan dengan ugutan cerai. Sekiranya Allah menentukan saya bertemu jodoh yang lain biarlah orangnya benar-benar memahami saya dan kami boleh bertolak ansur. saya jenis orang yang kalau orang buat baik pada saya saya akan buat seribu baik lagi pada orang itu. Allah lebih memahami saya dan apapun sejak saya diucapkan selamat tinggal oleh suami saya memandang anak yang tidur pasti diluar kesedaran saya air mata saya menitis. Saya juga automatik berubah menjadi penyabar dengan naak dan sentiasa melayannya baik kerana terlalu kasihan melihatkan nasibnya yang dapat ibubapa begini... dahlah selalu ditinggal ibu kerana kerja luar ayah pula terpaksa berkongsi dengan 8 adik beradik yang lain. Ya allah kau berilah anakku kebahagiaan.


Saya sangat-sangat sedar sekiranya kita membangkitkan bahawa suami tidak ada memberi apa-apa kepada kita, maka segala pahala dan amalan kita sia-sia.. tetapi saya tidak tahu ingin meluahkan kepada siapa gelora dan gelodak perasaan ini selepas diberi kata dua oleh suami untuk diceraikan. Apalah dosa saya, adakah terlalu besar sehingga dihukum sebegini rupa. Belum hilang lagi letih saya menjaganya 9 malam berturut-turut di hospital, dan tidak ada satu permintaannya semasa sakit yang tidak saya tunaikan... segala-galanya untuknya malahan lebih dari anak kerana 8 hari anak saya tinggalakan di rumah Mak Ros.


Malahan saya tidak pernah gagal menjemput/menziarah/mengambilnya setiap hujung minggu sejak dia sakit dan saya sendiri bercuti 3 minggu semata-mata menjaganya. Saya sanggup membuat segalanya dengan hanay kesilapan kecil saya diperlakukan begini. Apakah hikmahnya ujian ini, Ya allah... tunjukkanlah hambamu ini jalan yang benar. Amiiiiinnn....segala yang buruk itu dari saya, ampunkanlah dosa Ya Allah kerana kelancangan mulut saya mengungkit semua ini. Kalau benar saya bersalah biarlah saya dihukum didunia ini... moga-moga ada sinar dan hikmah dihadapan menunggu.

Suara hati dan pemikiran siti detik 9/27/2006 05:22:00 PM

Wassalam

No comments: