Saturday, October 7, 2006

Yang perlu diutamakan

Assalamualaikum w.b.t

Saturday, October 07, 2006


Bismillahhirrahmanirrahim

TANGGUNGJAWAB SESEORANG ISTERI.
Susunan Semula Oleh:
Lokman el-Hakim
Mahkamah Syariah Muar

Di samping perkara hak, isteri juga mempunyai berbagai tanggungjawab terhadap suami dan keluarga. Di mana tanggungjawab ini wajib dilaksanakan, bagi mengelakkan kepincangan hubungan. Kerana jika seseorang itu tidak mengetahui apakah tanggungjawabnya di dalam perkahwinan, maka disini adalah pintu utama kenapa berlakunya perceraian. Apatah lagi jika berlaku pengabaian.

i. Menuruti kehendak suami.
Patut disedari di dalam sesebuah perkongsian rumahtangga, siapakah sebenarnya 'boss'! Suami atau isteri? Jika setiap isteri menyedari bahawa dirinya adalah dibawah kawalan suami maka sudah pastinya setiap isteri mengambil berat terhadap setiap keperluan para suami. Dan begitu juga sebenarnya yang perlu dihayati oleh setiap suami bahawa dia adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isteri dan anak-anaknya. Maka hal ini jika disedari kehidupan menjadi terancang dan kedamaian dapat diadaptasikan.
Suami diibaratkan sebagai seorang raja dan permaisurinya adalah para isteri. Ini bermakna negeri yang diperintah itu memerlukan kebijaksanaan seorang raja disamping sokongan dari permaisuri yang rupawan. Dengan itu kerukunan dapat dicapai. Oleh kerana itu adalah menjadi kewajipan isteri untuk mentaati dan mengikut kemahuan dan kehendak seorang raja, kerana kedudukan isteri hanyalah sebagai permaisuri. Ini dirujuk kepada hadis Rasulullah:
عن ابى هريرة قال قال رسول الله (صلهم): "لو كنت آمرا أحدا ان يسجد لأحد لامرت المرأة أن تسجد لزوجها"

Daripada Abu Hurairah katanya: “Rasulullah bersabda sekiranya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang nescaya aku menyuruh isteri supaya sujud kepada suaminya.”

Di sini juga termasuklah kewajipan isteri mentaati suami. Kerana hak untuk ditaat itu kepada suaminya adalah terutama. Perlulah isteri menjaga perasaan dan emosi suami dalam perkara ini, kerana ancaman yang disebutkan dari hadis Rasulullah amat jelas menunjukkan kesan akibat ketidaktaatan isteri terhadap suaminya, sebagaimana sabdanya:
عن ابى هريرة قال قال رسول الله (صلهم) اذا دعا الرجل امرأته
الى فراشه فأبت فبات غضبان عليه لعنتها الملائكة حتى تصبح

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur lalu ia menolak sedangkan suaminya tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya nescaya ia akan dikutuk oleh malaikat (daripada malam) sehinggalah sampai ke waktu pagi.” (al-Bukhari & Muslim)
عن زيد بن أرقم قال قال رسول الله (صلهم):
" اذا دعا الرجل امرأته الى فراشه فلتجب وان كانت على ظهر قتب
Daripada Zaid bin Arqam berkata, Rasulullah bersabda: “apabila seseorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya maka hendaklah ia menerimanya sekalipun di atas kenderaan.” (al-Bazaar).
عن طلق بن على قال قال رسول الله (صلهم) اذا دعا الرجل زوجته لحاجته وان كانت على التنور

Daripada Talq bin Ali berkata, Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang suami mengajak isterinya untuk memenuhi hajatnya maka hendaklah ia datang menemuinya sekalipun ia sedang berada di dapur.” (al-Nasai & Turmizi)
Turut ditinjau, sejauhmana perlunya isteri itu mentaati suaminya? Apakah kepada semua perkara? Di dalam hal yang sama perlulah isteri ini sentiasa berhemah dalam melayan kerenah para suami, gunakanlah kebijaksanaan dan daya pengoda dalam menyenangkan hati suami sepanjang masa. Selaku seorang insan yang turut dianugerahkan perasaan dan naluri, dengan layanan dan cara yang baik isteri mungkin apa yang dihajati itu boleh dilupakan. Ianya terpulanglah di atas kebijaksanaan para isteri.
Tetapi sebaliknya, bagaimana jika suami pula yang menuruti kehendak isteri sepenuhnya, apakah natijahnya?
ii. Dari sudut layanan.
Isteri perlu memberi layanan kepada suami, di mana di dalam satu buku diceritakan bahawa layanan terhadap suami diumpamakan layanan terhadap anak kecil. Dia memerlukan layanan, belaian dan juga kemesraan. Oleh itu perlu dianggap sensitif oleh isteri dalam hal ini. Kerana ianya adalah skill isteri di dalam merapatkan hubungan berdua.


Selain itu, faktor untuk bermesra dan berkasih sayang sesama suami isteri turut menjadi satu objektif perkahwinan, oleh itu tepatlah sebagaimana seruan Rasulullah agar dilihat kepada faktor penyayang isteri disamping beragamanya dalam memilih isteri, sabdanya:
عن معقل بن يسار قال قال رسول الله تزوجوا الودود الولود فانى مكاثر بكم

Daripada Ma’qal bin Yasar katanya, Rasulullah bersabda: “kahwinilah perempuan yang bersifat penyayang lagi berketurunan kerana banyak anak kerana aku akan mempunyai ramai umat (hari kiamat). (Abu Daud)


iii. Menghadirkan perasaan hormat (respect).
Wajib isteri memandang hormat terhadap suaminya. Ini bermakna tidak boleh pada hal tertentu isteri memandang dan memperlekehkan suaminya, apatah lagi di khalayak ramai. Sewajarnya suami yang juga ketua rumah dihormati. Di samping ianya mampu menjaga perasaan suami, kerana di sini timbulnya perasaan megah suami dengan hadirnya kehormatannya oleh isterinya. Walaupun adat berkongsi, segala kebaikan kita lihat, begitu juga dengan keburukannya, tetapi jangan diperbesar-besarkan keburukan dirinya hinggakan dirinya merasakan tidak dihormati lagi. Begitu juga jika ini yang dilakukan oleh isteri, bagaimana dengan kelakuan anak-anak terhadap bapanya? Sabda Rasulullah:
عن عبد الله بن سلام قال قال رسول الله: "خير النساء من تسرك اذا
أبصرت وتطيعك اذا أمرت وتحفظ غيبتك فى نفسها ومالك

Daripada Abdullah bin Salam katanya, sabda Rasulullah: “sebaik-baik isteri ialah apabila engkau memandangnya dia akan mengembirakan hati engkau, apabila engkau menyuruhnya ia akan patuh dan ia sentiasa memelihara nama baikmu samada yang berhubungan dengan kehormatan dirinya dan harta benda engkau apabila engkau tiada di hadapannya.” (al-Tabrani)


Selain itu di dalam kaedah kaunseling, gunakanlah taktik mengorat (tackle) suami, kerana diusia sebegini dan perkahwinan yang telah lama berpanjangan bagi mengelakkan kebosanan dan jemu, adalah wajar isteri membantu sama dalam usaha suami untuk mengekalkan ikatan perkahwinan yang sedia ada itu. Apalah sangat kiranya isteri menambat kembali hati suami?


iv. Menjaga maruah suami (keluarga).
Selaku orang yang berkongsi luar dan dalam, wajib isteri menjaga maruah suaminya. Apakah sanggup seorang isteri menjaja-jaja kesalahan suaminya? Ianya mungkin berlaku dalam keadaan tanpa disedari. Kerana jika ianya berlaku ini bermakna isteri tersebut isteri yang tidak berakhlak dan mempunyai pekerti yang buruk.


v. Kerahsiaan.

Perhubungan suami isteri adalah hubungan yang diberkati. Kerana di dalam Islam pengharaman zina atau perbuatan yang berkaitan dengan kemaluan sangat-sangat ditentang. Oleh itu penyaluran yang terbaik adalah melalui perkahwinan ini.
Segala rahsia berkaitan dengan hubungan suami isteri wajiblah dirahsiakan. Tidak boleh didedahkan atau disebarkan (dijaja) walaupun kepada sesiapa sahaja. Kecuali dalam hal tertentu yang diharuskan oleh syarak, seperti dalam pembuktian dan sebagainya.


vi. Menjaga keluarga.
Di samping itu isteri turut berkewajipan membantu suami dalam menguruskan keluarga, menjaga dan mengawal keluarga. Sebagaimana Rasulullah bersabda:
عن ابن عمر قال قال رسول الله (صلهم): "..... والمرأة راعية فى بيت زوجها"

Daripada Ibn Umar katanya: “Rasulullah bersabda.. isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya.” (Bukhari & Muslim)

قال رسول الله: "عن عمرو بن الأوص قال قال رسول الله (صلهم) فأما حقكم على
نسائكم فلا يوطئن فرشكم من تكرهون ولا يأذن فى بيوتكم من تكرهون"

Dari Amru bin Ahwash berkata: “telah bersabda Rasulullah, adapun hak kamu di atas isterimu ialah mereka tidak membiarkan orang yang kamu benci masuk ke dalam tempat tidurnya malah juga tidak mengizinkan berada di dalam rumah kamu.” (Tirmizi)
Firman Allah: يآيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا

“wahai orang yang beriman, peliharlah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.” (al-Tahrim :6)


vii. Membantu keluarga dalam apa jua sekalipun.
Selain itu isteri turut berperanan untuk membantu suami dalam apa jua hak dan keadaan. Terutamanya dalam perihal pendidikan anak-anak. Memandangkan suami berkewajipan keluar mencari nafkah, maka bebanan ini tertanggung kepada isteri dalam pendidikan anak-anak. Maka secara langsung dalam soal pendidikan yang turut penting si isteri perlulah berakhlak mulia di dalam menjamin anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Sabda Rasulullah:
عن علىقال قال رسول الله: "أدبوا أولادكم على ثلاث خصال حب نبيكم
وحب أهل بيته وقراءة القرآن فان حملة القرآن فى ظل الله يوم القيامة يوم
لا ظل الا ظله مع أنبيائه وأصفيائه
Daripada Ali berkata: “didiklah anak-anak kamu mengenali tiga perkara iaitu kasihkan nabi kamu, kasihkan keluarganya dan membaca al-Qur’an kerana sesungguhnya orang yang menghafal al-Qur’an sentiasa dalam lindungan Allah pada hari qiamat, iaitu hari yang tiada perlindungan kecuali para nabi-nabi dan ahli sufi.” (al-Dailami)

عن ابن عمر قال قال رسول الله (صلهم):
"... والمرأة راعية فى بيت زوجها وهى مسئولة عن رعيتها"

Daripada Ibn Umar berkata, Rasulullah bersabda: “… isteri adalah pengurus dalam rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap orang yang dibawah jagaannya.” (al-bukhari & Muslim)


Kesimpulannya, terdapat banyak tugasan yang dinamakan tanggungjawab isteri. Jika mampu disenaraikan mungkin ada jua yang tertinggal. Dari itu satu perkara perlu diingatkan bahawa isteri mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap suami dan rumahtangganya. Tidak wajar ianya diabaikan atau tidak dipedulikan. Kerana ianya adalah fitrah berkewajipan, yang tidak boleh dihindarkan.

Wassalam

Nota : Moga-moga tulisan ini menjadi pedoman masa depan. Ada juga hadith (tak pasti sahih atau dhaif) mengatakan "seandainya meleleh darah dan nanah daripada hidung suami dan isteri menyapu dengan pipinya, itupun belum terpenuh tanggungjawab seorang isteri"

Alangkah besarnya tanggungjawab isteri, kan Rasullullah pun kata, "Andainya dibenarkan makhluk menyembah makhluk yang lain, nescaya kuperintahkan isteri menyembah suami".

Saya berdoa agar saya menjadi isteri yang sabar sesabar-sabarnya dan percaya bukan tugas isteri membentuk suami yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya Allah yang pegang hati mereka.Saya perlu banyak berdoa lagi dan lagi...


Suara hati dan pemikiran siti detik 10/07/2006 08:13:00 PM 0 cetusan hati
Cerita tentang; Da'wah


Wassalam

No comments: